Kenangan silam, sekitar tahun 1976,77,78 sehingga tahun 1987, aku bermain dengan riang dan menempuhi dunia kanak-kanak di sini. Sebuah kampung yang berdekatan dengan sebatang sungai.Sungai yang memberikan seribu erti, bermula belajar berenang, mengutip remis, kijing, mengail lampam dan menaut baung. Di waktu musim air sungai cetek, kami akan berlari di atas pasir halus hingga ke seberang dan melompat-lompat sehingga remis akan timbul di permukaan pasir. Kami akan mengutipnya sehingga sebaldi dan memberitahu emak, esok aku akan mengutipnya lagi. Emak akan merendam remis seharian dalam besen, supaya pasir-pasir yang tersimpan dalam remis, keluar. Jjika tidak, tak termakan, kerana pasir yang bercampur dengan isi remis. Dengan rasa banggsa aku memberitahu emak, bahawa agar emak membuat rendang atau masak gulai lemak putih. Emak hanya tersenyum. Dia tidak pernah melarang, sungai di waktu kemarau menjadi padang permainan saya dan kawan-kawan.
Sewaktu musim kemarau, emak dan kawan-kawan akan membasuh kain di tepi tebing. Air sungai paras betis, jernih dan aku akan membawa separuh kain untuk dibasuh. Sementara emak membasuh, aku akan membilang pasir-pasir yang digenggam sehingga tidak terkira lagi. Mana mungkin dapat aku mengira butiran pasir. Lalu segenggam pasir aku campakkan semula. Namun, kenangan yang tersemat dalam ingatan telah tiada lagi. Tebing itu hari ini telah berselut. Dan telah diselimuti tebu-tebu gajah, seniyai, peropok dan sebagainya.



No comments:
Post a Comment