Tuesday, September 30, 2025

Kembara dalam tujuan



Begitulah hidup yang sedang dilalui, tidak lekang daripada hidup dan kematian. Selama masih hidup, teruskan sisa yang berbaki dengan kebaikan dan nikmati kehidupan ini dengan rasa keseronokan. Berjalan di atas kuburan, ingatan bahawa kehidupan yang dilalui, ada dosa dan pahala yang dilakukan, setiap hamba yang tidak terlepas daripada ujian. Lalu masa yang berbaki, buatlah kebaikan kepada sesiapa sahaja, kerana mengukirkan senyuman juga sebagai berbahagi sedekah. Yang sangat susah untuk dilakukan, kerana nafsu manusia ini sangat ketat. Sangat emosi dan sering berlaku sombong. Kerap mereka lupa asal tubuh daripada tanah lumpur yang kering, tidak bermakna sekiranya tidak dikawal dengan hal-hal kebaikan.

melawat tanah kuburan, ayah ada disini. Dahulu setiapkali pulang menziarahi ibu dan ayah di Taman Cantik, senyuman ayah lebar sehingga menamakkan gigi dan ketuaanya. Di depan pintu dengan rasa seronok menyambut aku, isteri dan anak-anak yang bukannya selalu balik. Dia akan bersiap-siap menyambut ketibaan dengan persediaan makanan yang sedap-sedap. 

Layanan seorang ayah kepada anak-anak yang pulang ke rumahnya, tidak terkata. Pastinya dia sangat seronok melihat cucu-cucu sedang membesar. Dan sebelum berangkat pulang ke bandar, ayah akan menghulur wang yang bukan sedikit kepada cucu-cucunya. Bahagianya dan melompat girang anak-anakku mendapat imbuhan dikala pulang ke rumah ayah. 

Namun, masa berjalan dengan pantas, susana telah berubah. Ayah tidak lagi berdiri dengan senyuman di muka pintu. Aku sering mengingatkan anak-anakku, bahawa kalian memiliki seorang datuk yang sangat baik, dan berjaya dalam kehidupannya. Kalian harus berusaha untuk mendoakan dia, walau sekarang dia telah tiada. Kenanglah kebaikan yang pernah dicurahkan. Jangan sombong dan melupakan insan yang baik ini. 

Merenungi perjalanan yang telah berlalu, maka sedarlah bahawa kehidupan akan bakal dilalui tidaklah jauh manapun. Sehari, setiap langkah, semakin hampir untuk tiba ke penghujung. Yang menjadi penting dalam hidup ini berbuat kebaikan kepada oranglain, kerabat, kawan-kawan. Dengan harta yang sedikit boleh dilakukan, dengan bersedekah, tanpa menunggu sehingga harta melimpah ruah, baharulah untuk berani mengeluarkan sedekah. Salah dan terlewat. Berbakti kepada kehidupan tidak perlu menunggu lama, seperti makanan yang akan rosak apabila disimpan lama. 

Hidup peribadiku tidak cemerlang, seperti halnya kawan-kawan di seklilingku yang berjaya. Biarpun begitu, aku tetap bersyukur kerana diberikan oleh Tuhan, apa sahaja yang aku nikmati dalam hidup selama ini. Tiada kejayaan yang aku kecapi sepertimana kawan-kawan lain. Aku pernah berkerja dengan beberapa buah syarikat di kargo semasa muda sehinggalah aku berhenti dan memulakan perniagaan kecil-kecilan. Aku bukan tidak berminat dengan kerjaya dalam pakaian seragam, tetapi hasrat tersebut tidak kesampaian kerana tidak diizinkan oleh ayah dan ibu. Aku faham sekarang kenapa mereka melarang aku menjadi polis. 

Pada tahun pertama aku berkerja di kargo, ketika itu terletak di Subang, aku memohon untuk jawatan konstabel polis. Surat panggilan tiba, dan aku merasa seronok kerana ramai kawan-kawan yang berkerja dalam bidang kepolisian. Semangat untuk mejadi polis, walapun aku pernah gagal memohon, untuk jawatan Inspektor. Dengan keputusan STPM, yang sekadar cukup-cukup, tidak layak untuk dipanggil temuduga. Beberapa tahun kemudian, aku mahu jadi polis sebagai konstabel. Dihalang oleh ibu dan ayah kerana kata mereka, jika aku memohon menjadi tentera laut, mereka setuju. Aku buntu. Temuduga itu aku tolak, kerana tidak mahu mengecewakan perasaan ibu dan ayah. 

Bermula hari itu, aku tidak kemana-mana lagi. Kompleks Kargo telah menjadi tempat kerjaya sehinggalah aku berhenti pada tahun 2003, dan memulakan perniagaan sendiri. Bermula tahun 1990 tenaga dan usia habis di beberapa buah syarikat di Subang dan KLIA. aku tiada pilihan untuk mencari bidang kerjaya yang lain, kerana aku sudah berumah tangga pada awal perkerjaan. 

Aku sering bertelagah dengan ketua yang memiliki idea tidak sefitrah denganku. Aku tidak akan setuju dengan sesiapa sahaja yang menolak kebenaran bertuhan, memperlekehkan hal-hal agama, namun aku bukanlah seorang yang berilmu agama seperti pak-pak ustaz, guru tarikat. Aku hanya seorang pengikut yang sering memikirkan hal-hal di hadapan. 

Perasaan mula rasa terbeban setelah beberapa bulan aku berkahwin. Aku diuji dengan keperitan, rumahtangga tidak rasa mesra lagi. Isteri yang kupilih tidak lagi gembira untuk hidup bersama lagi. Keadaan rumahtangga jadi semakin parah, akhirnya jalan penyelesaian adalah bercerai. Rumahtangga yang dibina cuma setahun berkecai. Kami bercerai. Apa yang kita tahu, soal jodoh dan ajal, hanya milik Allah. 
 

No comments:

Tips daripada tokoh penulis dunia

 “Saya boleh menahan segala-galanya kecuali godaan.” – Oscar Wilde “Lebih baik dibenci kerana diri sendiri daripada disayangi kerana bukan d...