Monday, September 3, 2012

Rakit

Lewat senja, rakit belum lagi tiba di jeti peraih di Teluk Intan. Semalam kami bertolak jam 2 pagi meredah kegelapan malam menelusuri arus. Berpandukan pengalaman salah seorang daripada kami yang pernah berakit bersama dengan ayahnya beberapa kali kami bertekad untuk meneruskan ekspedisi, sekadar memenuhi tuntutan dan keberanian menakah alam reamaja. Berseronok dengan kawan-kawan sekampung.

Buloh-buloh galah kami tetak, dan dijerut menjadi beberapa berkas untuk dijadikan sebuah rakit. Kamipun menariknya ke tepi sungai setelah kami jerut dan tarik keluar daripada perdunya. Kerja-kerja menebang sekitar beberapa hari sebelum dapat kami mengumpulkan di tepi sungai, buat pertama kalinya aku merasa bagaimana sukarnya kerjaya seorang penebang buloh.

Keberanian di sungai, melihat arus, merasai kedalaman dan ancaman-ancaman lain yang tidak di duga seperti kehadiran beberapa ekor buaya yang menghampiri rakit asing sesuatu yang tidak perlu ditebak. Cabaran untuk anak-anak kampung yang bersemangat kental, melalui kehidupan yang pernah dilalui oleh beberapa orang kampung untuk mendapatkan rezeki, rakit memberi semangat dan mengajar kami keperluan untuk berdikari.Apa yang kami tahu, ancaman memudiki arus ke hilir menghadapi pelbagai rintangan. Berhanyut hanya dikemudikan oleh galah, tanpa bantuan enjin, memerlukan kepakaran dan tidak boleh leka. Bila-bila masa rakit boleh berkecai disebabkan terlanggar tunggul-tunggul kayu yang tidak kelihatan di muka arus.Tambah gelap malam,rakit mengekor arus di sepanjang tebing, apa-apa yang menunggu kami di sebelah bawah dan sebelah atas, terutama julai-julai dahan kayu yang menjuntai di gigi air, kukira perjalanan ini bukan sesuatu yang menyeronokkan, selain mengundang mara bahaya.

Sebelum bertolak malam itu kami berkumpul di hadapan sebuah surau lama di baruh, tidak berapa jauh daripada rakit yang sedang menunggu kedatangan kami. Segala kelengkapan seperti makanan, biskut, minuman, lampu suluh, dan sebagainya kami siapkan sebagai bekalan di sepanjang perjalanan yang mengambil masa kira-kira 12 jam.

Keseronokan tergambar di wajah kami, seramai sembilan orang yang akan turut serta dalam ekspedisi berakit malam itu. Dengan doa dan lafaz bismillahirrahmannirrahim, kami mengungkai ikatan tali rakit. Di atas rakit kami sediakan sebuah khemah, sekiranya berlaku hujan dalam perjalanan.
Lebih kurang satu jam perjalanan melepasi Kampung Pulau Besar, sewaktu kelikatan gelap malam, tiba-tiba salah seorang daripada kami yang berdiri di haluan rakit menjerit meminta kami semua tundukkan kepala kerana ada dahan pokok di hadapan.Kami dengan segera menirap. Pemegang kemudi di belakang cuba menolak dengan menunjang galah, tetapi dasar agak jauh. masing-masing menirap mengelak daripada disapu oleh dahan pokok. Rakit berpusing seketika tetapi dapat dikawal balik oleh kawanku yang berpengalaman beberapa kali menemani ayahnya berakit.

1 comment:

Azlan Ahmad said...

masa dan kejadian telah lama berlalu, entah dimana kalian teman2,memang indah kenangan di desa kelahiran

Tips daripada tokoh penulis dunia

 “Saya boleh menahan segala-galanya kecuali godaan.” – Oscar Wilde “Lebih baik dibenci kerana diri sendiri daripada disayangi kerana bukan d...