Tuesday, September 6, 2011

Teman lama, di pinggir bendang.

Setelah lama kampung halaman ditinggal, berpindah ke suatu daerah yang baru, tidak lupa berkunjung lagi ke tanah asal sewaktu membina kehidupan bersama. Ketika itu ada tanah bendang di sebelah tali air, menguning dan menghijau bertukar musim. Sama-sama memerun jerami sambil menikmati jagung bakar di tepi batas, menikmati kemanisan  tebu, meranduk selut tanpa menoleh ke belakang melalui detik jerih payah membina sebuah keluarga. Anak-anak mereka riang berlarian di petak, memburu anak pilai, menangis di sengat keli,  dan lintah menjadi mainan di telapak tangan. Melepaskan geram mengutil kelikatan darah pacat yang mencair di hujung jari.
Anak-anak generasi kini tidak belajar erti kepayahan, mereka anak zaman yang tidak dapat menjauhkan diri daripada kemajuan, perubahan tida terhindar.  Ketika  aku belum bersekolah menengah , sudahku fahami tentang  panas dan keringat di tengah petak sawah. Rasa bangga pulang membawa separuh guni padi yang kubanting dengan titik peluh ku sendiri. samada anak-anak zaman ini memahami kepayahan lampau dan mengapa anak-anak yang dibesarkan dalam suasana kepayahan lebih mendaulatkan negara ini, menjunjung agama dan mengerti salasilah budaya bangsanya.kami ketika itu dekat dengan kicauan burung, miang buluh dan perit benta menyiat kulit sewaktu meranduk denai.
Dengan keadaan payah bagaimanapun kesukaran hidup membuahkan pemikiran yang padat dengan alamiah, belajar berdikari, tahu menguruskan masa  dan kesukaran yang dilalui hanyalah kenangan paling indah, meskipun pahit. Inginkah anak-anak zaman kini  mendengar hakikat masa lampau yang diselangi pahit dan manis itu. Setidak-tidaknya mereka mengenali asal usul mereka, kita bukan bermula di kota. Hidup kalian bemula di tanah leluhur ini. Tanah pejuang!

No comments:

Tips daripada tokoh penulis dunia

 “Saya boleh menahan segala-galanya kecuali godaan.” – Oscar Wilde “Lebih baik dibenci kerana diri sendiri daripada disayangi kerana bukan d...