Wednesday, September 21, 2011

Aku diberitahu teman, Ganesh kawin Melayu

Sudah puluhan tahun berlalu, dia teman olahraga di sekolah SYS, dan padang tempat kami berlatih dan berlumba lari telah lama kami tinggalkan. Padang seluas lapangan terbang, masih menghijau subur, layu bila musim panas, dan kembali segar pabila musim hujan. Kami sama-sama berlari dan terus berlari memijak rerumput dan musim, walaupun sudah jauh kami tinggalkan padang kenangan itu. Ada kalanya kami mencari kecuraman tar, bersebelahan kelab golf, berdekatan pejabat-pejabat kerajaan berlatih bersama-sama. Akrabnya kami, sehingga ada masanya aku dipelawa masuk ke sebuah gereja untuk meraikan majlis harijadinya. Aku dengan senang hati, tanpa syak dan ragu-ragu hadir meraikannya. Di zaman persekolahan Ganesh, berkawan dengan semua bangsa, tanpa perasaan prasangka.
Di masa lain, sewaktu menyambut hari guru, kami akan memetik gitar, beberapa orang teman sekelas bersedia untuk mendendangkan lagu-lagu patriotik, Kami akan bernyanyi bersama-sama, tanpa mengira apapun seolah-olah kami hidup dalam sebuah keluarga yang harmoni dan aman damai.
Kini, aku tidak pasti di mana  teman-teman sekelas yang lain, dan kalaupun berselisih di jalanan, pasti kami sudah tidak mengenali di antara satu sama lain. Juga, aku kenalan memberitahu, Ganesh  sudahpun bertemu jodoh dengan bangsa Melayu, dan dia memeluk agama Islam.
Aku masih ingat sebuah gereja yang kumasuki dahulu. Aku masih ingat pada malam itu aku dihidangkan oleh Ganesh, minuman kotak, aiskrim, biskut dan roti yang enak. Keluarganya melayani ku dengan ramah sebagai tetamu .
Akupun tidak faham mengapa ada orang-orang  Islam bertukar kepada Kristian. Adakah kerana kesempitan wang, kebebasan, keunggulan, atau kerana hendak berkawin dengan orang beragama Kristian, lantas mereka berpindah agama. Aku jadi percayalah, kalau dikatakan bertukar agama kerana akidah yang longgar, tetapi suatu yang lebih tepat, agama Islam goyah kerana sistem kehidupan hari ini telah rosak yang dirosakkan oleh sistem politik hari ini. Inilah puncanya.

1982, di Padang Sultan Yusuf School

Pendidikan yang diterima, tidak semestinya meninggalkan kesan seklip mata, setahun atau setahun setelah meninggalkan bangku sekolah. Natijahnya jauh lebih lama, jaraknya panjang meninggalkan bekas-bekas keberuntungan dan tidak kurang memberikan kesan yang mendalam di lubuk jiwa. Hubungan di antara guru dan murid, masih tali temali, walaupun sesetengah daripada mereka kebarangkalian sudah meninggalkan kehidupan fana ini.

Kita telah dewasa, malah semakin tua dan menderita pelbagai kesakitan, tidak kurang sedang menikmati kebahagiaan hasil usaha dan tungkus lumus semasa di alam persekolahan dahulu. Tahniah, inilah yang disemat dalam dada, 'study hard is the key to success', slogan yang tertera di atas papan hitam di dalam kelas.

Terimakasih , para guru yang mendidik insan tidak mengira bangsa ataupun keturunan. Tanggungjawab kalian sangat besar dan segala hal persengketaan dalaman dan perkauman telah diketepikan, demi melihat anak didik menjadi seorang insan yang berbudi, dapat meneruskan kehidupan sebagai manusia yang berilmu.

SYS, 1981, Form 3

pelajar-pelajar lelaki yang tidak berkeinginan terhadap pelajar perempuan.

Tuesday, September 6, 2011

Teman lama, di pinggir bendang.

Setelah lama kampung halaman ditinggal, berpindah ke suatu daerah yang baru, tidak lupa berkunjung lagi ke tanah asal sewaktu membina kehidupan bersama. Ketika itu ada tanah bendang di sebelah tali air, menguning dan menghijau bertukar musim. Sama-sama memerun jerami sambil menikmati jagung bakar di tepi batas, menikmati kemanisan  tebu, meranduk selut tanpa menoleh ke belakang melalui detik jerih payah membina sebuah keluarga. Anak-anak mereka riang berlarian di petak, memburu anak pilai, menangis di sengat keli,  dan lintah menjadi mainan di telapak tangan. Melepaskan geram mengutil kelikatan darah pacat yang mencair di hujung jari.
Anak-anak generasi kini tidak belajar erti kepayahan, mereka anak zaman yang tidak dapat menjauhkan diri daripada kemajuan, perubahan tida terhindar.  Ketika  aku belum bersekolah menengah , sudahku fahami tentang  panas dan keringat di tengah petak sawah. Rasa bangga pulang membawa separuh guni padi yang kubanting dengan titik peluh ku sendiri. samada anak-anak zaman ini memahami kepayahan lampau dan mengapa anak-anak yang dibesarkan dalam suasana kepayahan lebih mendaulatkan negara ini, menjunjung agama dan mengerti salasilah budaya bangsanya.kami ketika itu dekat dengan kicauan burung, miang buluh dan perit benta menyiat kulit sewaktu meranduk denai.
Dengan keadaan payah bagaimanapun kesukaran hidup membuahkan pemikiran yang padat dengan alamiah, belajar berdikari, tahu menguruskan masa  dan kesukaran yang dilalui hanyalah kenangan paling indah, meskipun pahit. Inginkah anak-anak zaman kini  mendengar hakikat masa lampau yang diselangi pahit dan manis itu. Setidak-tidaknya mereka mengenali asal usul mereka, kita bukan bermula di kota. Hidup kalian bemula di tanah leluhur ini. Tanah pejuang!

Saturday, September 3, 2011

Malang orang-orang untung

Menjual kereta lama membeli kereta baru, kata Busu menambahkan hutang, menambakkan perasaan takabur. Seeloknya menjalani kehidupan yang dipercayai ada ketentuan abadi di alam akhirat, bertemu dengan Allah, sederhana lebih mulia. Pakailah kereta lama, kalau rosak boleh diperbaiki, daripada menambahkan hutang sepanjang hidup dengan hutang piutang. Bank itu riba @ kapitalis, sistem 'freemansion' @ 'brothers' , laknatullah. Busu tidak hairan ramai manusia sudah lupa daratan keimanan, kerana amalan manusia bernafsu buas. Akhir zaman manusia tandus disiplin , keji dan kotor. Disebabkan sistem ini sudah lama menular dalam sistem politik dan ekonomi negara bangsa!! 
Melalui deras sistem ekonomi Islam yang dikatakan mengikut acuan Islam, inilah fitnah Dajjal.Aku bersetuju dengan pandangan abang Dinsman, gahnya nama Islam, sama naiknya saja menara bank dengan kubah masjid-masjid, sedangkan amalan kafir masih berkubang dalam kehidupam masyarakat Islam di bawah gagasan manusia baru lagi moden.Agenda-agenda jungkir balik ini seperti dikaburi oleh keharusan, sedangkan sepatutnya sistem zakat, waqaf, baitullmal dan pelbagai muamalah beracuan cara Islam  banyak lagi boleh dibina, mengapa tidak digantikan, hancurkan  sistem riba amalan perbankan di negara ini.
Memadailah berkereta lama, kerana takut dengan azab dan api neraka Allah. Terpulanglah kepada anda untuk merujuk hal keribaan ini kepada sarjana Islam, bukan sarjana kafir. Jawapannya sudah pasti jelas dan tidak diragui, kalaupun anda tidak bersetuju dan menidakkan, itu adalah pilihan anda sendiri. Kebenaran tidak dapat diraih dengan sekelip mata, kebenaran juga bukan datang dengan mudah di zaman Rasulullah S.A.W.
Bank-bank yang sedia ada, mengelirukan mata umat dengan istilah-istilah Arab, kononnya istilah itu menghalalkan cara. Inilah pengeliruan mata Dajjal, kafir, Yahudi, 'brothers', dan banyak juga istilah lain, samada Arab atau bukan Arab yang boleh diterima pakai. Samada Abu Jahal, Abu Nawas, atau abu apapun, pada namanya Islam, sifat dalamannya neraka.
Begitu jugalah kalau Bush dipakaikan tarbus, songkok, tidak bermakna dia Turki ataupun melayu, adapun pakaian sebenarnya  bagi dia topi besi, kuku besi, persis boneka, dan bobot-bobot kehancuran pemikiran umat Islam di mana-mana.
Paling jijik, bank-bank dapat untung yang sangat besar melalui ribanya, si peminjam dikira berhutang, walaupun aset, harta, kereta telah dirampas, dijual kepada orang lain, lantas dipinta lagi hutang riba daripada anda. Inilah riba. Digunakanlah agensi-agensi yang tumbuh seperti cendawan, berlagak samseng, mengugut-ugut, inilah undang-undang kapitalis, sedangkan negara ini demokrasi.

Friday, September 2, 2011

Pertemuan generasi lama dan baru

Syawal disambut meriah, menjalin hubungan saliturrahim, yang jauh kembali ke tanah leluhurnya, bertukar senyum, bersilih waktu saban tahun silih berganti.Dalam pertemuan tiada yang lebih indah mengenang kembali peristiwa-peristiwa lampau, manis ataupun pahit, payah ataupun sukar. Tiada lagi saat yang paling membahagiakan apabila antara dua keluarga bertemu setelah lama terpisah oleh jarak dan haluan.
Yang pasti masa akan terus bergerak ke hadapan, silih berganti, usiapun semakin tua.

Tips daripada tokoh penulis dunia

 “Saya boleh menahan segala-galanya kecuali godaan.” – Oscar Wilde “Lebih baik dibenci kerana diri sendiri daripada disayangi kerana bukan d...