Monday, December 6, 2010

Bangunkan suara anak-anak watan


Di menara ilmu ini wajarlah menemukan jati diri bangsaku yang hilang, semakin hilang, kian pupus di arus keruh kemodenan yang membunuh. Anak-anak seperti aku suatu ketika dahulu dibunuh, direnyuk kegelojohan, rakus mengejar kebendaan. Hilangnya sikap, pendirian, begitu rumit mengendalikan kelewatan lampau. Biar hari ini aku bersumpah demi pertiwi, nashkah Melayu yang terbakar di dalam perang, di rompak penjajahan, sehingga aku kembalikan persuratan yang hilang itu. Sumpah. Bersumpahlah pertiwi bangsa.
Kita di sini bukan hanya untuk menyiapkan tugasan dan PB, tetapi lebih besar daripada itu. Kefahaman dan kemahuan untuk mencari peribadi, semangat untuk terus mencabar diri walaupun ianya agak terlewat. Di menara gading kita akan bertemu dengan rakan-rakan daripada pelbagai bidang dan daerah, bahasa serta budaya yang berbeza, namun senyum yang diberikan membuat kita berasal daripada rumpun dan budaya yang sama. Hormat menghormati di antara satu sama lain.
    Apakah yang kurang dalam senyuman, walaupun tidak sering berbual-bual disebabkan fakulti yang berbeza. Namun kami berasa bangga dan bertuah berteduh di bawah pohon-pohon teduh dalam kampus. Nyaman menyegarkan berjalan menuju ke kelas sewaktu kuliah. Sambil berjalan berbual-bual dengan kawan-kawan fakulti, sebilik, seiringan dengan gelak dan ketawa seperti kanak-kanak sekolah. Setelah habis keluaih kami sama-sama juga singgah di kafeteria. Di sepanjang jalan daripada asrama ke dewak kuliah, ada beberapa buah kafeteria yang menjadi pilihan kami. Makanan dan minuman yang dijual, sangat murah dibandingkan dengan harga di luar. Ini disebabkan kami masih lagi pelajar kampus yang sedia menikmati harga murah. Pada tahun pertama aku di kampus, sebulan diwajibkan tinggal di kampus. Selebihnya kami belajar program jarak jauh. PJJ. Pengajaran dalam talian ketika itu diikuti oleh para pelajar dari daerah dan negeri masing-masing. Kuliah di dalam talian pada hujung minggu, kami jalani dengan selamat dan menyeronokkan. Kami mengenal semua pensyarah, dan siswa siswi kerana pada minggu orientasi kami berkumpul di Dewan Besar di USM untuk mengangkat sumpah sebagai pelajar Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. 
    Tahun 2009, aku berjanji pada diri untuk belajar bersungguh-sungguh sebagai status seorang pelajar. Pada majlis angkat sumpah, keseluruhan pelajar daripada pelbagai fakulti, seramai 1800 orang. Berseragam baju putih, bertali leher, berseluar hitam memenuhi dewan. Permandangan dalam dewan meriah, mengembirakan, dan semangat berkobar-kobar setelah diterima sebagai pelajar universiti. Kegembiraan diterima sebagai siswa di universiti yang unggul tidak digambarkan. Inilah peluang keemasan yang lama aku dambakan. Pada satu masa dahulu aku bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran hinmgga ke manara gading. Sekarang sudah tercapai. Pada era 1980an, selepas aku menamatkan STPM, aku memohon melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah. Semasa mengisi borang UPU, aku memilih Universiti Malaya sebagai pilihan pertama. Gagal. Dengan keputusan hanya 3p 1Subsid, aku tidak layak untuk melanjutkan pelajaran di universiti unggul tersebut. Ketika itu aku tidak lagi bercita-cita melanjutkan pelajaran, setelah aku berkerja di Kuala Lumpur dan tidak lama aku berumahtangga. Cita-cita untuk menjadi siswa terpadam. Bermulalah aku mencari makna hidup di tengah kota ini, setelah berkeluarga. Tiada pintu yang terbuka untuk aku meneruskan cita-cita melanjutkan pelajaran di universiti. Sehinggalah pada tahun 2007, aku terjumpa di suratkhabar pengambilan melanjutkan pelajaran di USM. Ketika itu aku sudahpun berumur 42 tahun. Sudah terlewat tetapi tidak terlambat untuk menimba ilmu. Aku memohon masuk ke universiti bukan kerana mahu menggunakan segulung ijazah untuk kepentingan yang lain, seperti memohon kerja kerajaan, naik gaji, sebaliknya aku ingin menimba ilmu. Aku teringat seorang kawan, katanya, apakag gunanya belajar sesudah tua. Aku tidak menjawab atau tidak menjelaskan kepada beliau apakah manfaat ilmu. Katanya gunakan wang yang ada untuk kegunaan keluarga, dan masa depan. Menimba ilmu setelah tua ibarat air yang mengalir di atas daun pisang. Aku tersenyum lagi dan tidak mahu menerangkan apa-apa. Kami berbeza cara berfikir dan berbeza dalam menuturkan kata-kata. Dan tidak akan sama di antara orang yang belajar yang sangat memahami erti perjuangan dan pahit getir sewaktu menimba ilmu. Dalam hidup ini wang boleh dicvari, tetapi masa terus berjalan, dan tidak akan digantikan. Walaupun dengan segunung emas. Ilmu tidak dapat dibeli kecuali dipelajari dan difahami. Ilmu itu tempatnya tinggi dan perlu didaki untuk mengambilnya. Ilmu itu tempatnya di dada seorang penuntut.
    

No comments:

Tips daripada tokoh penulis dunia

 “Saya boleh menahan segala-galanya kecuali godaan.” – Oscar Wilde “Lebih baik dibenci kerana diri sendiri daripada disayangi kerana bukan d...