Thursday, December 16, 2010

Kemanisan pada ilmu, gedung akal yang makmur

Aku hairan dan kagum pada manusia yang dapat berfikir tetapi tidak menunaikan akalnya. Sistem kehidupan dan berfikir manusia di hadapanku telah berselingkuh sehingga melahirkan anak-anak gampang, yang akalnya kosong, hanya dibauri kepalatan. kemusnahan yang dicipta sekian abad oleh nusa, parah disesati neorosis dan kebejatan anak-anak gampang yang lahir berpijar sakit.
Arca dari Menara
biarpun betapa lelah mendaki lereng restu di hujung bukit
membasah jerih di pundak harapan tetap kami daki
biarpun terlewat mencapai saujana
mengugur tekun dan tekad pantang sekali
azam dan berkabut pari
seluruh warga berjanji
tidak patah dibahang kekecewaan
sumpah warga kampus
membayar rakus anak-anak generasi
menyatakan mengapa ada perjuangan
mengapa ada mimpi
dan mengapa kami berdiri di puncak kebijaksanaan

ada kalanya kami direncam mimpi gelora rindu
pada anak-anak di sana
pada kekasih yang memahami
Restuilah Tuhan
Mencapai Fajar
Harapan serta Gemilang

(USM, Pulau Pinang )Aku hairan dan kagum pada manusia yang dapat berfikir tetapi tidak menunaikan akalnya. Sistem kehidupan dan berfikir manusia di hadapanku telah berselingkuh sehingga melahirkan anak-anak gampang, yang akalnya kosong, hanya dibauri kepalatan. kemusnahan yang dicipta sekian abad oleh nusa, parah disesati neorosis dan kebejatan anak-anak gampang yang lahir berpijar sakit.
Arca dari Menara

Kembara ke lembah ilmu

Dia bersama kami, seorang pengembara di lembah ilmu, mencari hakikat dan keberanian azam dan semangat, harapan dan budi, jujur dan lestari. Pembuktian kehidupan ini tidak semata-mata ada kebendaan boleh menakluk jiwa yang sakit. Kemewahan tidak menjamin kebahagiaan, harta kekayaan melimpah luah belum tentu mengubati kekosongan di perjalanan. Jutawan bergelar mempunyai ratusan hektar tanah di persisir pantai, gedung perniagaan yang mantap, siapalah kami dibandingkan dengan sahabat kami ini. Jenuh di perairan untung dan laba di pantai, kapal-kapalnya meraih untung, sesiapapun tidak sangka, dia bersama sebatang tongkat keazaman turut bersama-sama kami mencari sesuatu yang indah di tanah permai, menara USM hendak ditakluki.
Syabas Datuk! Mereka di luar sana, hanya mencari mimpi-mimpi yang kosong.

Friday, December 10, 2010

Talak Di Musim Rindu


Semakin jauh semakin kita menghampiri titik pertemuan setelah pergelutan menjarakkan hubungan seintim dahulu. Mustahil atau benar hendak kita mengakhiri penyesalan yang berlaku dengan menyatukan semula dua belahan jiwa yang terlalu menderita selama belasan tahun sedang kita sendiri yang mengatur. Bukan kita pinta nasib seburuk kelmarin bermula pertengkaran kecil, campur tangan famili, lalu menjadi konflik yang serius sehingga diselesaikan dalam bilik syariah. Lalu seterusnya matahari membakar warkah warkah janji yang terjalin selama bertahun-tahun. Begitulah kesudahannya cinta yang ikhlas dicampuri hal-hal yang di luar rumah cinta kita.

Thursday, December 9, 2010

Dalam peristiwa demi peristiwa

Harapan ibu pertiwi pada anak-anak generasi masakini, betapa penghayatan budaya, bahasa kemaskinikan untuk dijadikan pegangan utuh situasi bangsa akan datang.



Wednesday, December 8, 2010

Memahamkan orang tidak mengerti

Ramainya kelompok kebodohan di luar aliran dan mahzab yang sedang kuanuti. Material yang tidak mendatangkan apa-apa kian ramai jumlahnya. Kasihan, sedih kerana mala petaka yang sedang membelenggu melingkari kelompok itu. Mereka bernafas tanpa wawasan. Mereka bangun saban pagi, dengan tidak tahu arah dan tujuan. Jiwa mereka lebih tohor dari laut. Hidayah bukan milik semua orang. Pendirian dan pegangan juga bukan milik ramai orang. Cukup sedikit yang diberikan petunjuk untuk memahami mengapa mereka diwujudkan di alam ini. Mereka sedang sakit di luar sana. Mereka kehilangan segala-galanya, dan mereka tidak faham mengapa mereka hidup.Hidup tanpa tautan perjuangan apalah ertinya.

Tuesday, December 7, 2010

Malam Kemerdekaan Bahtera Merdeka


Masihkah ada restu,

Entah mengapa ada cacatnya hubungan kemanisan yang mahu dibangunkan semula melalui mimpi-mimpi kesakitan silam. Silam dan perasaan terjejas oleh episod hari ini yang terjadi tiba-tiba. Belahan tubuh menjadi satu, itupun tidak mungkin terjadi. Jadilah kita seperti keruh di musim kemarau, terang tetapi masih menanggung kegelisahan. Tidakkah kita berjalan di tanah kekecewaan hidup, kekadang indah untuk sementara, kekadang merasai kesakitan meskipun terasa berharganya hubungan diteruskan.
Keampunan dan penyerahan pada situasi takdir itulah sebaik-baiknya yang harus disemai, sementara, semakin jauh kita meneruskan perjalanan.

Lupakan kesakitan lampau, binalah cahaya persahabatan

Usahawan kecil

Yang bermula dan berakhir

Kita semakin memahami

Rona-rona kembara

Monday, December 6, 2010

Bukan salah takdir


Hampir belasan tahun kita diketemukan semula, setelah terpisah oleh kemahuan yang bukan mutlak milik dikongsikan. Aku kekok berdiri menahan silu dan perasaan. Kini kita dewasa, dan tidak wajar menangisi perpisahan yang terjadi. Pasrah.

Dunia ini hanya nyanyian sepi


Katamu wajah kemarau sastera bermusim
ada kering dan hujannya
ada bisu dan kakunya
ada gersang dan lembahnya
sekawan belibis menungkah angin
takkan tertikam
paruh berkawan.


Memperkenalkan budaya

Lakukan apapun demi memperkenalkan penghayatan sastera dan budaya kepada khalayak. Syabas sahabat-sahabatku.

Bangunkan suara anak-anak watan


Di menara ilmu ini wajarlah menemukan jati diri bangsaku yang hilang, semakin hilang, kian pupus di arus keruh kemodenan yang membunuh. Anak-anak seperti aku suatu ketika dahulu dibunuh, direnyuk kegelojohan, rakus mengejar kebendaan. Hilangnya sikap, pendirian, begitu rumit mengendalikan kelewatan lampau. Biar hari ini aku bersumpah demi pertiwi, nashkah Melayu yang terbakar di dalam perang, di rompak penjajahan, sehingga aku kembalikan persuratan yang hilang itu. Sumpah. Bersumpahlah pertiwi bangsa.
Kita di sini bukan hanya untuk menyiapkan tugasan dan PB, tetapi lebih besar daripada itu. Kefahaman dan kemahuan untuk mencari peribadi, semangat untuk terus mencabar diri walaupun ianya agak terlewat. Di menara gading kita akan bertemu dengan rakan-rakan daripada pelbagai bidang dan daerah, bahasa serta budaya yang berbeza, namun senyum yang diberikan membuat kita berasal daripada rumpun dan budaya yang sama. Hormat menghormati di antara satu sama lain.
    Apakah yang kurang dalam senyuman, walaupun tidak sering berbual-bual disebabkan fakulti yang berbeza. Namun kami berasa bangga dan bertuah berteduh di bawah pohon-pohon teduh dalam kampus. Nyaman menyegarkan berjalan menuju ke kelas sewaktu kuliah. Sambil berjalan berbual-bual dengan kawan-kawan fakulti, sebilik, seiringan dengan gelak dan ketawa seperti kanak-kanak sekolah. Setelah habis keluaih kami sama-sama juga singgah di kafeteria. Di sepanjang jalan daripada asrama ke dewak kuliah, ada beberapa buah kafeteria yang menjadi pilihan kami. Makanan dan minuman yang dijual, sangat murah dibandingkan dengan harga di luar. Ini disebabkan kami masih lagi pelajar kampus yang sedia menikmati harga murah. Pada tahun pertama aku di kampus, sebulan diwajibkan tinggal di kampus. Selebihnya kami belajar program jarak jauh. PJJ. Pengajaran dalam talian ketika itu diikuti oleh para pelajar dari daerah dan negeri masing-masing. Kuliah di dalam talian pada hujung minggu, kami jalani dengan selamat dan menyeronokkan. Kami mengenal semua pensyarah, dan siswa siswi kerana pada minggu orientasi kami berkumpul di Dewan Besar di USM untuk mengangkat sumpah sebagai pelajar Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. 
    Tahun 2009, aku berjanji pada diri untuk belajar bersungguh-sungguh sebagai status seorang pelajar. Pada majlis angkat sumpah, keseluruhan pelajar daripada pelbagai fakulti, seramai 1800 orang. Berseragam baju putih, bertali leher, berseluar hitam memenuhi dewan. Permandangan dalam dewan meriah, mengembirakan, dan semangat berkobar-kobar setelah diterima sebagai pelajar universiti. Kegembiraan diterima sebagai siswa di universiti yang unggul tidak digambarkan. Inilah peluang keemasan yang lama aku dambakan. Pada satu masa dahulu aku bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran hinmgga ke manara gading. Sekarang sudah tercapai. Pada era 1980an, selepas aku menamatkan STPM, aku memohon melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah. Semasa mengisi borang UPU, aku memilih Universiti Malaya sebagai pilihan pertama. Gagal. Dengan keputusan hanya 3p 1Subsid, aku tidak layak untuk melanjutkan pelajaran di universiti unggul tersebut. Ketika itu aku tidak lagi bercita-cita melanjutkan pelajaran, setelah aku berkerja di Kuala Lumpur dan tidak lama aku berumahtangga. Cita-cita untuk menjadi siswa terpadam. Bermulalah aku mencari makna hidup di tengah kota ini, setelah berkeluarga. Tiada pintu yang terbuka untuk aku meneruskan cita-cita melanjutkan pelajaran di universiti. Sehinggalah pada tahun 2007, aku terjumpa di suratkhabar pengambilan melanjutkan pelajaran di USM. Ketika itu aku sudahpun berumur 42 tahun. Sudah terlewat tetapi tidak terlambat untuk menimba ilmu. Aku memohon masuk ke universiti bukan kerana mahu menggunakan segulung ijazah untuk kepentingan yang lain, seperti memohon kerja kerajaan, naik gaji, sebaliknya aku ingin menimba ilmu. Aku teringat seorang kawan, katanya, apakag gunanya belajar sesudah tua. Aku tidak menjawab atau tidak menjelaskan kepada beliau apakah manfaat ilmu. Katanya gunakan wang yang ada untuk kegunaan keluarga, dan masa depan. Menimba ilmu setelah tua ibarat air yang mengalir di atas daun pisang. Aku tersenyum lagi dan tidak mahu menerangkan apa-apa. Kami berbeza cara berfikir dan berbeza dalam menuturkan kata-kata. Dan tidak akan sama di antara orang yang belajar yang sangat memahami erti perjuangan dan pahit getir sewaktu menimba ilmu. Dalam hidup ini wang boleh dicvari, tetapi masa terus berjalan, dan tidak akan digantikan. Walaupun dengan segunung emas. Ilmu tidak dapat dibeli kecuali dipelajari dan difahami. Ilmu itu tempatnya tinggi dan perlu didaki untuk mengambilnya. Ilmu itu tempatnya di dada seorang penuntut.
    

Yang bermula dan berakhir


Lautan mimpi ada ketikanya tercecah hanya sejengkal dari pintu kebaikan, pastilah sanjungan hendak aku nyatakan tanpa meminta apa-apa. Menarikan ronggeng, dinyelang kemerduan seruling angin. Cerah mentari di ufuk timur membawa kenangan demi kenangan seorang pemikir bangsa dan martabat kedewasaan ini. Hari ini telah menemukan dua cahaya dalam rumah budi yang satu.
Di belakang bayang aku sedang berdiri, merenung diri. Jauh aku ditinggalkan sang angin aksara bahasaku. Paling sedikit mahu memahami masa sebenarnya pencantas waktu-waktu, aku hanyut dalam kerinduan, rentak rebab, nyelang rebana, wah! di mana aku terlontar selama ini.

Saturday, December 4, 2010

Bertuhanlah pada Dia


Mengapa durja menjamah terlarang kata-kata
seekor rama-rama tergetar warnanya diseligi ranting
sehingga sering berterbangan ke lautan tidak bertepi
kaukah ratu
tiada sakti di mata melainkan secebis pasir di lantai
tertutup segala lembah gulita
selain mengenali aku
secangkir bisu
sedang di tebing rindu kau ingin menyapa hujan
melihat rama-rama kehilangan teman dan sayap warnanya
Yang ku lihat di alam gelap
sedang tumbuh tukangan baru
alangkah masa remaja
sekelip palitan nafsu
yang akan terjawab dengan sendirinya
di hadapan kebenaran
masanya akan datang
seekor rama-rama
sayapnya tidak berguna lagi.

Tips daripada tokoh penulis dunia

 “Saya boleh menahan segala-galanya kecuali godaan.” – Oscar Wilde “Lebih baik dibenci kerana diri sendiri daripada disayangi kerana bukan d...